Friday 7 November 2008

Warga Stoke Menulis: Remaja Islam Perlu Perkukuh Semangat, Berilmu

Dipetik dari Berita Harian 6 November 2008, hasil tulisan warga stoke: Nik Salida Suhaila

ORANG Islam yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal dan minda, juga yang urusannya dengan Allah, manusia serta alam dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Lebih-lebih lagi, bagi generasi muda, mereka perlu mengambil peluang ketika usia muda untuk menjadi hebat kerana mereka masih perkasa.

Keperluan generasi muda masa kini untuk menjadi seorang yang hebat ialah mereka mesti berilmu, iaitu jika bercakap, berfikir dan bertindak, mestilah berasaskan ilmu, bukannya emosi dan ketidakstabilan jiwa menjurus kepada bicara penuh fitnah dan adu domba.

Mereka juga perlu adil, iaitu amanah dengan tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mungkin mereka tidak ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain.

Generasi muda juga mesti berani, kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentulah mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain dan menjadi ikutan kepada yang memerlukan model ikutan.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita, sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh mengubah kehidupan, cita-cita juga menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara.

Tetapi cita-cita perlukan hasrat dan tekad yang tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan kerana jika tiada seperti yang disebutkan, orang muda akan tetap boleh berjaya atas keyakinan kepada kuasa Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah.

Satu contoh yang boleh dijadikan ikutan golongan muda hari ini ialah Usamah bin Zaid bin Haritsah bin Syarjil bin Ka'ab bin Abdul 'Izzy al-Kilaby. Nama panggilannya ialah Abu Muhammad sementara gelarannya ialah Hibburrasul yang bermaksud 'kecintaan Rasul' atau Ibn Hibburrasul.

Beliau digelar demikian kerana Rasulullah SAW sangat menyayangi dan menyintainya seperti Baginda menyintai cucunya, Hasan dan Husain. Beliau lahir ketika Rasulullah SAW sedang dalam kesusahan kerana tindakan kaum Quraisy menyakiti Baginda dan sahabat.

Kesulitan dan kesusahan berdakwah menyebabkan Baginda SAW sentiasa harus bersabar dan dalam keadaan seperti itu, Baginda dikhabarkan dengan berita gembira, iaitu kelahiran anak kepada Zaid bin Harithah (anak angkat Baginda) dan Ummu Aiman.

Selepas Usamah bin Zaid meningkat remaja, sifat dan pekerti yang mulia kelihatan pada dirinya, menjadikannya kesayangan Rasulullah SAW. Beliau cerdik dan pintar, keberanian luar biasa, bijaksana dan pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya, tahu menjaga kehormatan, sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan tercela, pengasih dan dikasihi orang, takwa, warak dan mencintai Allah.

Ketika Perang Uhud, Usamah dan kawan sebayanya ingin sekali ikut berjuang di jalan Allah. Namun Rasulullah SAW tidak mengizinkannya kerana mereka masih terlalu muda. Ini menyebabkan Usamah menangis dan berasa sedih kerana tidak terpilih untuk berjuang di medan perang.

Ketika Perang Khandaq, beliau bersama kawan sebayanya sekali lagi meminta izin Rasulullah SAW untuk ikut berperang dan kali ini Rasulullah memberi keizinan kerana umur mereka sudah mencapai 15 tahun.

Pernah berlaku dalam Perang Hunain, tentera Muslim sudah terdesak sehingga barisan tentera mereka menjadi kacau bilau. Tetapi Usamah bin Zaid tetap bertahan bersama 'Abbas, Sufyan bin Harits dan enam sahabat lain.



Usamah turut berperang di bawah pimpinan ayahnya, Zaid bin Haritsah dalam Perang Mut'ah di Rom pada 629 Masihi bersamaan 5 Jamadil Awal 8 hijrah ketika umurnya kira-kira 18 tahun.

Usamah menyaksikan sendiri, bapanya syahid di medan tempur tetapi beliau langsung tidak takut, malah terus bertempur dengan gigih di bawah panglima Ja'far bin Abi Thalib, sehingga Ja'far pula syahid di depan matanya.



Sehingga akhirnya, sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Baginda menyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim.

Antara sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera Muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Umar Al Khattab. Namun, ketentuan Allah mendahului segala-galanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan tentera, Allah menjemput kekasih-Nya, iaitu Rasulullah SAW kembali ke sisi-Nya.

Kewafatan Baginda Rasulullah SAW meninggalkan jutaan kenangan buat umat Baginda. Usamah pernah menceritakan bahawa pada suatu ketika, "Tatkala sakit Rasulullah SAW bertambah parah, aku bersama beberapa sahabat menghadap Rasulullah. Kemudian aku masuk kepada Baginda. Aku mendapati Baginda diam tidak berbicara sama sekali. Hal itu disebabkan sangat parahnya penyakit Rasulullah SAW. Tiba-tiba Rasulullah SAW mengangkat tangannya ke langit kemudian meletakkannya di dadaku, aku mengetahui bahawa beliau mendoakanku."

Tentera Usamah akhirnya mencapai kejayaan gemilang dalam 40 hari. Kemenangan ke atas wilayah kekuasaan Rom itu memberikan kesan politik yang penting terhadap negara Islam. Ia menyedarkan kaum yang ingin menyerang Madinah bahawa masyarakat Islam bukan mudah diugut atau digugat.

Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan umat Islam kerana tentera Usamah bin Zaid ditugaskan untuk menjaga keselamatan Madinah.

Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah yang lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menzalimi rakyat.

Generasi muda perlu menjadi guru kepada diri sendiri, dengan menurut kata hati yang tidak melanggar hukum dan adat serta optimis, dengarlah kata orang lain, terutama ibu bapa yang tidak pernah berniat menjadikan anak mereka pengkhianat agama.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom.

No comments: