Saturday 22 November 2008

Peribadi salih, kuasai ilmu mampu tingkat kehebatan ummah

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

PEMBENTUKAN dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki oleh Allah SWT dan disebut di dalam al-Quran ialah shakhsiyyah yang salih dari segi sikap, ucapan dan tindakan. Walaupun peribadi salih yang diterjemahkan oleh setiap manusia adalah berbeza, al-Quran tetap menggariskan prinsip yang sama sejak mula diikuti oleh umat Islam.

Umat Islam perlu membina peribadi teguh di dunia tanpa sempadan ini, kerana jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Ada bimbingan yang kita perlukan daripada orang yang arif dalam apa juga bidang, tetapi tidak terkejar masa dengan kepintaran manusia meraih peluang.

Jika kita tidak mengejar masa, sudah tentulah kita ketinggalan dan lemah, sedangkan umat Islam kuat kerana ilmu. Paling utama untuk membina personaliti Muslim yang dihormati ialah mesti mempunyai akidah bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat.

Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian Allah jika mereka mempunyai akidah bersih dan tidak akan `berpatah arang' menghadapi cabaran mendatang. Setiap Muslim juga perlu menunaikan ibadat yang hakiki kepada Allah seperti yang diajarkan Rasulullah SAW.

Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi dengan keikhlasan dalam beribadah serta tidak berbangga dengan perbuatan baik yang dilakukan atau mempunyai niat yang sebaliknya.

Peribadi Muslim juga diukur dengan akhlak mulia. Ia sikap yang harus dimiliki setiap umat Islam sama ada akhlaknya berhubung sesama manusia dan alam atau dengan Allah. Mengamal akhlak mulia adalah satu perbuatan yang sukar dilakukan kerana manusia sentiasa diganggu nafsu yang memandu mereka ke arah kejahatan kerana tidak cermat dalam setiap urusan dunia.

Ia juga kerana manusia kadangkala ingin mengamalkan akhlak mulia tetapi tidak mempunyai akidah bersih dan ibadat yang hakiki.

Dunia tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Oleh itu peribadi salih sajalah yang boleh menghalang perbuatan tidak amanah, tidak bertanggungjawab atau tidak menghormati hak orang lain.

Peribadi salih termasuk juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadat dan perintah Allah dengan sempurna yang mungkin tanpa bergantung kepada pertolongan dan bantuan orang.

Jika mempunyai kesihatan baik, umat Islam tentulah dapat menjalankan amanah dengan baik, apatah lagi Muslim sentiasa berdepan cabaran dan tohmahan yang tidak henti-henti mengacau keharmonian dan kemakmuran umat Islam di dunia ini, apatah lagi Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin lemah" (Hadis Riwayat Muslim).

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir intelek kerana salah satu sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas dalam membuat keputusan disebabkan keintelektualan Baginda yang tinggi. Jika direnungkan, setiap apa yang akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir.

Sebab itu individu Muslim yang cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.

Firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah: Samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."

Satu aspek lain yang tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi sebagai seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, sudah tentulah kita mempunyai kecenderungan sama ada kepada yang baik atau buruk.

Sekiranya kita terdorong untuk melakukan maksiat, daya juang melawan hawa nafsu akan menyelamatkan kita tetapi jika sebaliknya, kita tidak akan mampu membina peribadi Muslim yang sepatutnya.

Dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap Muslim juga perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkan masa. Allah juga mengingatkan manusia supaya menjaga masa yang diberikan kepada setiap manusia dengan jumlah yang sama, iaitu 24 jam sehari semalam.

Dengan jumlah waktu itu, ada antara kita untung dan ada rugi, tetapi pasti, waktu yang pergi tidak akan kembali lagi sampai bila-bila.

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional dalam sesuatu urusan. Mereka mesti tekun, bijak berinteraksi dengan bahasa yang difahami, berintegriti dan amanah. Jangan pula orang Islam dijadikan contoh ikutan yang tidak baik di kalangan manusia yang pelbagai agama dan bangsa sedangkan Islam sebaik-baik agama di dunia.

Kuasa pula satu perkataan yang impaknya luar biasa. Amar ma'ruf dan nahi mungkar juga boleh direalisasikan jika kita mempunyai kuasa. Muslim haruslah mempunyai kuasa agar peribadi mereka tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lainnya yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam yang dikecapi berabad lalu.

Terakhir, setiap Muslim mesti memastikan bahawa dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.

No comments: