Saturday 29 November 2008

Imam Al-Ghazali terima falsafah Barat tak bercanggah dengan Islam

Oleh Zahid Zamri

IMAM Al-Ghazali atau nama sebenarnya Abu Hamid Al-Ghazali (1058-1111) hidup di zaman kegemilangan kerajaan Abbasiyah. Banyak yang kita dengar mengenai ketokohan dan sumbangan beliau dalam ilmu agama, tetapi tidak banyak diceritakan sumbangan beliau dalam ilmu falsafah.

Selain buku-buku fiqh agama, beliau sebenarnya turut memberi sumbangan besar dalam dunia falsafah Islam. Al-Ghazali mengkaji hasil kerja falsafah Greek lama seperti karya Aristotle dan Plato. Kemudian beliau membandingkannya dengan ajaran Islam.

Beliau melakukan analisis yang kritis dan menapis falsafah Greek berkenaan. Bagi falsafah yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, ia diterima beliau sebagai falsafah yang positif. Manakala yang tidak sejajar dengan ajaran Islam dikategorikan sebagai falsafah yang tidak Islamik.

Beliau menulis dua buku penting dalam mengklasifikasikan ilmu falsafah iaitu Maqasid Al-Filasafah yang merumuskan prinsip penting yang ada dan perlu ada dalam bidang falsafah. Kedua ialah Tahafut Al-Filasafah, menceritakan elemen negatif yang wujud dalam ilmu falsafah terutama falsafah dari Barat.

Al-Ghazali turut membahagikan ahli falsafah kepada dua kumpulan iaitu 'Al-Ilahiyyun', kumpulan terdiri daripada mereka yang mempercayai akan kewujudan Tuhan. Mereka juga tidak memberi banyak masalah kepada umat Islam kerana memiliki pandangan serupa dari segi mempercayai akan adanya kuasa tuhan di sebalik kewujudan alam semesta ini.

Kumpulan kedua pula digelar 'Al-Dihariyyun', kumpulan ahli falsafah yang menolak akan kewujudan Tuhan atau boleh dipanggil sebagai golongan 'Atheist'. Kumpulan ini tidak mempercayai akan wujudnya kuasa Pencipta. Mereka mempercayai bahawa alam ini dijadikan secara kebetulan. Mereka juga tidak percaya kepada adanya hidup selepas mati.

Bagi Al-Ghazali, golongan ahli falsafah seperti itu hendaklah ditolak sepenuhnya akan fahaman falsafah mereka. Beliau berpendapat ilmu logik adalah ilmu yang sejajar dengan ajaran Islam kerana Islam adalah agama yang mengajak umatnya berfikir.

Banyak ayat dalam al-Quran mengenai golongan yang berfikir ini dan bagi Al-Ghazali, ayat seperti soalan tidakkah kamu berfikir seperti soalan yang menyindir manusia supaya gigih mengkaji ilmu logik yang ada di alam semesta ini.

Oleh itu, beliau menyerapkan ajaran Islam dalam karya falsafah Barat dan menjadikan ia selari dengan hukum Islam serta boleh diguna pakai dalam situasi semasa. Ini dijadikan bukti untuk menyanggah tanggapan Barat yang menganggap Islam adalah agama kolot dan tidak boleh disesuaikan dalam arus kemodenan.

Disebabkan itu, beliau menulis sebuah lagi buku bagi membuktikan Islam adalah agama yang boleh disesuaikan dalam kehidupan harian manusia sejagat. Buku yang diberi nama Akhya' 'Ulum Al-Din dianggap sebagai karya beliau paling agung.

Ia menekankan mengenai pembaharuan yang harus dilakukan dalam proses menyampaikan ilmu agama supaya sesuai dengan keadaan semasa dan selari dengan ajaran Islam. Beliau membahagikan buku ini kepada empat bahagian iaitu amal ibadat, adat dan tradisi, perlakuan baik dan kemusnahan.

Pada bahagian pertama, beliau menerangkan mengenai umat Islam seharusnya tidak hanya menumpukan pada hukum dan undang-undang Islam. Sebaliknya kita haruslah memberi fokus kepada hikmah di sebalik sesuatu hukum itu. Contohnya seperti hikmah dan faedah di sebalik ibadat solat, puasa dan sebagainya.

Bahagian kedua, beliau mengajak ulama supaya berusaha menyesuaikan ajaran Islam dalam adat kaum mereka kerana menyedari yang setiap kaum memiliki tradisi berbeza. Oleh itu, ulama haruslah bijak menyerapkan elemen Islam dalam tradisi sesebuah kaum supaya ajaran Islam mudah diterima dan dilaksanakan.

Ketiga, Al-Ghazali mengajak umat Islam meninggalkan perbuatan maksiat yang mendatangkan akibat kemusnahan supaya masyarakat dapat hidup aman harmoni tanpa perlu takut ancaman kehancuran akibat perbuatan jenayah atau seks bebas yang menghancurkan institusi kemasyarakatan.

Bahagian terakhir dalam buku itu, beliau menyarankan masyarakat mempromosikan perbuatan amal kebajikan untuk menggalakkan semua entiti dalam masyarakat melakukan kebaikan yang memberi faedah kepada masyarakat semula sebagai hasil pulangan yang dapat memajukan dan mengekalkan keharmonian masyarakat.

No comments: