Saturday 22 November 2008

Masyarakat Melayu kena kembali kepada citra 'Melayu itu Islam'

DARI satu segi, isu hak pribumi khususnya orang Melayu yang tidak lagi dihormati kaum lain sebenarnya berpunca daripada orang Melayu sendiri. Sejak akhir-akhir ini, orang Melayu membiarkan diri mereka kehilangan kehormatan dan meruntuhkan satu demi satu maruah dan ciri kedaulatan jati diri mereka.


Tidak perlu kaum lain mencuba untuk merosakkan imej Melayu. Ia bertepatan dengan firman Allah yang antara lain menyebut tidak ada bangsa lain menentukan nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri.

Orang Melayu perlu bermuhasabah diri. Tidak perlu menuding jari ke arah orang lain, kerana dengan satu jari menunjuk ke arah pihak lain, tiga jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri. Orang Melayu mempunyai beberapa ciri kehormatan.

Ciri paling utama ialah Melayu itu beragama Islam. Sejarah membuktikan pengislaman Melayu yang dikesan sejak abad ke-13 Masihi membentuk citra Melayu amat hebat sehingga mampu membina empayar yang menyatukan seluruh etnik Melayu. Empayar Melayu Melaka menjadi mercu tanda kegemilangan ini.

Namun, sejarah juga membuktikan bahawa keruntuhan Melayu pada zaman itu disebabkan orang Melayu sendiri sudah mula menyeleweng daripada ciri keislaman sejati. Pemimpin Melayu yang banyak terbabit dengan perdagangan bersifat rakus dan tamakkan kekayaan.

Tindas-menindas mula menjadi budaya. Keadaan ini menimbulkan pula gejala rasuah dan perpecahan di kalangan pembesar. Kezaliman dan fitnah memfitnah menjadi sesuatu yang lumrah. Pada saat inilah Portugis meruntuhkan kegemilangan yang dibina. Dan selama beratus-ratus tahun berikutnya, orang Melayu terjajah di bumi sendiri.

Pada abad ke-19 dan ke-20, orang Melayu bangkit semula membina negara bangsa yang bersifat metropolitan dek dasar penjajah. Kali ini orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa negara ini bukan milik mereka sendiri saja, tetapi terpaksa berkongsi dengan dua bangsa utama lain iaitu Cina dan India.

Sudah tentu persaingan menjadi lebih hebat dan kompleks. Justeru masing-masing mempunyai kesamaan dan perbezaan dalam pelbagai aspek termasuk budaya dan sistem kepercayaan, orang Melayu seolah-olah gagal menyesuaikan diri membina ketamadunan baru berasaskan ciri yang heterogenus.

Malah, ada kalangan sarjana bukan Melayu yang kehairanan melihat orang Melayu yang seperti `cacing kepanasan' berjuang dan berusaha mempertahankan hak seolah-olah mereka bersifat minoriti dan pendatang. Keliru dengan persekitaran persaingan yang lebih mencabar, orang Melayu mulai melihat agama sebagai adat; hanya wajib dipegang apabila hendak bernikah, jika berlaku kematian, atau pada musim perayaan saja.

Dalam aspek kehidupan lain; rasuah menjadi-jadi sama ada kecil atau besar, sama ada secara terang atau sembunyi, sama ada secara 'halal' atau secara haram. Masalah dadah tidak pernah selesai malah bertambah buruk.

Budaya hedonism semakin menular dan tambah melampau apabila diharuskan atas pelbagai alasan termasuk amal jariah. Budaya fitnah-memfitnah tidak pernah surut. Politik wang, sistem kehakiman yang culas dan ketirisan sistem penyampaian kerajaan pimpinan Melayu menjadi rahsia awam. Semuanya amat menjengkelkan.

Orang Melayu secara terang-terangan berkelahi sesama sendiri dalam banyak gelanggang. Segala keburukan ini mendapat liputan media, seolah-olah membuka pekung di dada.

Jadi, bagaimanakah kita mahu memaksa orang lain menghormati kita jika segala pekung yang berkudis, bernanah, berulat, dan amat busuk itu didedahkan kepada kaum lain? Seingat saya, sejak pilihan raya umum lalu, media tidak pernah gagal menghidu berita keburukan perangai orang Melayu, malah ada juga 'siaran langsung' pergaduhan suami isteri selebriti melalui media elektronik.

Orang Melayu wajib kembali kepada citra 'Melayu itu Islam'. Islam bermaksud sejahtera dan selamat. Apabila kita buang citra ini, selamanya orang Melayu akan terus berantakan dan hilang kehormatan diri.

Dalam situasi begini, tidak perlu kita merayu orang lain menghormati kita. Lebih daripada itu, belajarlah daripada sejarah Melaka jika kita mahu terus berdiri sebagai satu bangsa yang bermaruah. Janganlah kita terlalu bodoh mengulang kembali kesilapan yang dilakukan oleh orang Melayu ketika itu.

Kepemimpinan Melayu perlu segera mengambil langkah muhasabah diri sebelum mengajak orang Melayu melakukannya. Tidak sukar sebenarnya memimpin bangsa Melayu kerana masih ramai orang Melayu yang berpegang kepada waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang dimeterai di Bukit Siguntang Mahameru.

Tafsirkan sejujur-jujurnya pesanan Hang Tuah bahawa 'takkan Melayu hilang di dunia'. Usahlah beretorik lagi kerana kini masanya untuk menterjemah kedaulatan bangsa kepada ketamadunan akal dan hati budi.

Keharmonian dan kejayaan membina tamadun baru itulah yang akan menjadi manifestasi kedaulatan Melayu yang sebenar-benarnya. Apabila tercapai nanti, bangsa Melayu dan segala hak pribuminya akan dihormati dan tidak lagi diperkotak-katikkan.


DR SHARIFUDIN LUBIS,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

No comments: