Sunday 23 November 2008

PTK perlu dirombak elak nafi hak pekerja lama

PENILAIAN Tahap Kecekapan (PTK) merupakan kaedah berorientasikan peperiksaan yang diperkenalkan untuk kenaikan pangkat seseorang penjawat awam. Namun begitu terdapat kelemahan yang lebih banyak berbanding kebaikan yang diperoleh daripadanya seperti:

Menafikan pengalaman

Bagi mereka yang telah berkhidmat sebegitu lama (melebihi 10 tahun), aset pengalaman mereka dinafikan kerana praktikaliti kerja lapangan mereka biasanya tidak terdapat dalam kandungan peperiksaan yang hanya dominan dengan ilmu teori sahaja.

Melemahkan sistem kekananan (senioriti)

Kakitangan awam yang baru dilantik yang terdiri daripada kalangan graduan baru keluar IPT mempunyai kelebihan kerana masih "dekat" dengan ilmu teori hasil daripada proses pembelajaran semasa di IPT menyebabkan mereka lebih mudah mencerna ilmu teori dalam buku panduan untuk peperiksaan PTK berbanding kakitangan awam lama yang telah jauh daripada "budaya buku" kerana tuntutan tugas khusus atau lapangan.

Menghilangkan rasa hormat antara kakitangan

Apabila kakitangan yang baru memasuki perkhidmatan tetapi telah lulus kesemua PTK ada terdapat kemungkinan untuknya menjadi ketua atau pegawai atasan kepada pegawai lama.

Keadaan ini sedikit sebanyak akan menjarakkan hubungan kerana kakitangan yang mentah pengalaman boleh mengarah kakitangan yang lebih senior (yang tidak lulus PTK) daripadanya. Kakitangan senior juga pasti akan merasa terkilan jika bekas pegawainya bertukar menjadi pengarahnya hanya kerana PTK.

Skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik

Bagi mereka yang terpilih memasuki skim ini merupakan mereka yang paling bertuah di Malaysia. Ini kerana setelah mengharungi kursus selama lebih kurang enam bulan di INTAN maka mereka mendapat kenaikan dari gred 41 ke 48 dalam jangka masa tidak melebihi enam tahun bekerja, malahan tanpa perlu mengambil PTK pun!

Mari kita bayangkan seorang pegawai PTD yang berumur tidak melebihi 30 tahun menjawat gred 48, menjadi ketua kepada pegawainya yang telah berumur 40 tahun ke atas.

Di sini soalannya juga kenapa hanya 'pegawai elit' PTD sahaja yang naik pangkat sebegitu cepat (tanpa pengalaman yang cukup luas).

Jika difikirkan lebih baik untuk anda belajar sekadar sahaja dan jika bertuah dapat menjadi PTD berbanding anda bertungkus lumus belajar untuk menjadi doktor kerana anda akan berada 'di bawah' PTD juga akhirnya.

PTK memang perlu dirombak bagi menghapuskan elemen peperiksaan sebaliknya diganti dengan proses kursus pengembangan kerjaya yang merangkumi seminar dan latihan ke arah melahirkan dan melengkapkan pegawai dengan ilmu kemahiran semasa.

Melucukan apabila difikirkan bahawa terdapat pemikir-pemikir di negara ini hanya melihat peperiksaan adalah segalanya. Daripada zaman persekolahan sehinggalah zaman pekerjaan tidak habis-habis dengan peperiksaan.

Nasib baiklah untuk pencen tidak dikenakan peperiksaan! Lihatlah bagaimana pihak swasta membuat proses penilaian kepada kakitangan mereka tanpa perlu melemahkan motivasi dan semangat pekerjanya melalui peperiksaan.

Kondisi ini juga barangkali telah mula disedari oleh Kementerian Pelajaran yang mana tidak lagi terlalu fokus kepada orientasi peperiksaan sebaliknya mula melihat kepada cabang kreativiti pelajar sebagai elemen pembelajaran. Syabas kepada Kementerian Pelajaran.

Semoga isu PTK yang dibawa ke Parlimen mampu memberikan keputusan yang baik untuk semua pihak terutamanya kepada lebih kurang 1.2 juta penjawat awam yang sentiasa menyokong CEUPACS.

Janganlah keputusan isu ini hanya memberikan keputusan baik kepada segelintir sahaja dalam perkhidmatan awam.

Jika dilihat di dada akhbar kebelakangan ini terdapat beberapa persatuan pekerja awam yang menyokong saranan CEUPACS dan saya percaya banyak lagi persatuan yang akan tampil untuk bersama CEUPACS dalam menangani 'kesilapan' yang terhasil daripada permulaan pengenalan PTK lagi.

1 comment:

Unknown said...

saya sungguh terharu dengan kata-kata yang dilemparkan oleh mereka yang menyatakan bahawa kenapa hanya golongan elit ptd sahaja yang harus diberikan kelebihan.

ada banyak yang salah tanggapan mengenai pegawai tadbir awam dan diplomatik. khususnya yang menyebutkan mereka ini setelah hanya mengikuti kursus diploma pentadbiran awam selama enam bulan diberikan kenaikan pangkat secara automatik tanpa mengikuti ptk. ini adalah salah tanggapan. kerana setelah seorang yang dilantik sebagai ptd dari beberapa ribu yang meminta mengikuti kursus diploma pentadbiran awam, mereka kemudian diletakkan dalam gred jawatan ptd m41 selama beberapa tahun dan hanya setelah mereka tamat ptk 1 dan 2 dengan jayannya mereka boleh dinaikan ke jawatan m44. tidak seperti jawatan lain terutamanya mereka yang berada dalam khidmat pensyarah, sekiranya mereka mempunyai master terus akan dilantik ke jawatan tinggi. tetapi ini tidak bagi seorang ptd walaupun beliau mempunyai masters beliau tetap kena duduki ptk 1 dan 2 sebelum dinaikkan pangkat yang lebih tinggi dari m41. malahan untuk naik ke pangkat yang lebih tinggi seperti m48 dan m52 mereka harus lepasi ptk 3 dan 4. manakala bagi m54 mereka harus lepasi ptk5. jadi saya rasa tanggapan mereka yang menulis mengenai pekara bahawa ptd tidak payah mengikuti ptk adalah salah dan tidak berasas. malahan ianya mencemar nama baik profession ptd. harapan sebelum menulis itu kaji lah dahulu dan jangan buat sesuatu itu tergesa-gesa. saya sendiri seorang pegawai ptd 52 telah lulus ptk 1,2, dan 4 dengan jayanya(tiada pengecualian) dan hanya setelah berkhidmat lebih dari 14 tahun barulah menikmati pangkat m52 ini.