Sunday 23 November 2008

Antioksida perlahan proses penuaan

Oleh Dr Noordin Darus (Doktor Perubatan lulusan Universiti Malaya dan London University)
dnd@worldwellness.com.my

KITA berjumpa lagi pada minggu ini. Adakah anda masih ingat artikel saya mengenai zarah radikal bebas? Jika anda terlupa, zarah radikal bebas disebabkan tekanan mental, pencemaran, merokok, racun perosak dan sinaran.

Zarah radikal bebas dimasukkan ke tubuh kita apabila kita menghirup oksigen yang pada masa sama melalui perubahan kimia, seperti pencemaran, asap rokok dan sebagainya. Ia mampu memberikan kesan negatif seperti mendatangkan pelbagai penyakit.

Berita baik, wujudnya pemusnah bagi zarah radikal bebas. Zarah radikal bebas yang sangat tidak stabil akan terjadi ketika proses pengoksidaan, apabila ia memasuki tubuh kita, ia akan menukarkan lemak dan lipid dalam badan kepada bahan yang boleh merosakkan sel sihat yang menyebabkan anda uzur dan tua. Oleh yang demikian cara terbaik melawan zarah radikal bebas itu adalah dengan mengawal proses pengoksidaan itu sendiri.


Antioksida adalah penawar semula jadi kepada ancaman itu yang banyak diperkatakan. Sebenarnya ia adalah bahan yang boleh mengawal dan menyingkir radikal bebas pemusnah itu, yang akan memperkukuhkan ketahanan sel anda. Bahan hebat itu membantu merangsang pembaikan sel dengan pantas dan juga dapat membaiki DNA yang dirosakkan zarah radikal bebas itu.

Di samping manfaat kesihatan, antioksida itu juga terbukti dapat memperlahankan proses penuaan serta meremajakan dan memanjangkan zaman muda. Dengan mencari dan meneutralisasikan zarah radikal bebas, antioksida bertindak sebagai pengemas rumah dalaman badan.

Pada hakikatnya, antioksida berkesan sebagai penghapus zarah radikal bebas sehingga mereka sering dapat mengatasi sesuatu masalah sebelum apa-apa kerosakan molekul berlaku. Dengan demikian, antioksida boleh dipanggil pengawet muda dalaman badan manusia.

Antioksida juga memainkan peranan penting dalam membina dan mengekalkan kekebalan badan. Antioksida menggalakkan gerak balas dalaman yang meningkatkan kebolehan badan untuk menangkis organisma pembawa penyakit yang menyerang badan seperti bakteria dan virus serta organisma lain yang menyumbang kepada proses penuaan.

Dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan memasukkan pelbagai makanan yang kaya dengan antioksida dalam menu harian, anda dapat membekalkan badan dengan bekalan antioksida secukupnya tanpa sebarang masalah.

Memandangkan makanan itu mudah didapati, tidak ada alasan untuk tidak memasukkannya dalam pemakanan dan dalam rancangan anda untuk hidup dengan sihat. Dua contoh makanan atau zat makanan yang kaya dengan antioksida:

1. Beta-karotena

Pelopor Vitamin A, beta-karotena adalah suatu anti-pengoksida yang sangat berkesan. Ia didapati dalam makanan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan dan sangat berkesan untuk menghilangkan zarah oksigen tunggal atau bahan buangan beracun.



Sumber makanan adalah:

  • betik

  • ubi keledek

  • tembikai

  • sayur-sayuran hijau yang lain

  • karot, brokoli.

    2. Vitamin C

    Juga dikenali sebagai asid askorbik, diperlukan untuk membaiki kerosakan molekul akibat kesilapan mutasi somatik yang mengubah sel anda sehingga menyebabkan kerosakan dalaman organ penting dan mengakibatkan permulaan proses penuaan melalui pembentukan zarah radikal bebas. Vitamin itu menggunakan kolagen, suatu ”imen” semula jadi yang dihasilkan daripada kerosakan sel. Vitamin C juga diperlukan untuk mencegah pengoksidaan makanan berlemak.

    Sumber makanan adalah:

  • Strawberi

  • Brokoli

  • Kubis

  • Buah dan jus sitrus

  • Jambu batu

    Sumber makanan yang disenaraikan di atas kaya dengan antioksida dan jika anda ingin kekal mempunyai tubuh badan sihat, cara terbaik ialah amalkan pemakanan sihat dengan mengambil pelbagai zat makanan berkhasiat.
  • No comments: