Saturday 29 November 2008

Ibadat korban tuntut kerelaan sepenuh hati

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Sifat utamakan keuntungan dunia buat manusia lupa pembalasan hari akhirat

ASASNYA peristiwa korban mengajar supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau dihargai untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Justeru, bukanlah mudah untuk berkorban, melainkan kepada perkara yang kita tidak perlukan lagi, tetapi mengorbankan harta benda bernilai menuntut desakan hati yang bukan sedikit.

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata sesungguhnya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya." (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Menurut kitab Tafsir Ibn Kathir, pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu Baginda sudah lanjut usia. Namun Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa berdoa dan bermunajat kepada Allah supaya dikurniakan zuriat.

Maka, dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga Baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Baginda berasa gembira dan tidak ada perkataan dapat dilafazkan melainkan mengucapkan syukur atas kurniaan yang sudah lama ditunggu-tunggu.

Kisah itu dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar." (Surah al-Shoffat, ayat 101)

Ulama bersepakat termasuk ahli kitab, bahawa Nabi Ismail dilahirkan terlebih dulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 99 tahun.

Tatkala umur Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian berat diturunkan Allah kepada dua beranak itu dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah. Allah memerintah Nabi Ibrahim menyembelih putera kesayangannya.

Betapa berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah yang wajib dilaksanakan. Menurut ulama tafsir dalam kitab tafsir, Fath al-Qadir, Nabi Ibrahim bermimpi tiga malam berturut-turut menyembelih anaknya.

Seperti kita maklum, mimpi nabi bukan mainan tidur, bahkan ia adalah wahyu daripada Allah. Dengan hati sedih, Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah itu kepada Nabi Ismail. Namun, jawapan menakjubkan Nabi Ismail ialah: "Wahai bapaku laksanakanlah apa yang sudah diperintahkan Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar."

Ada dua dimensi pengorbanan boleh dijadikan iktibar, iaitu pengorbanan seorang ayah yang begitu lama menantikan anak, kemudian apabila sudah memilikinya terpaksa pula mengorbankan perasaan cinta dan kasih demi kepatuhan dan keredaannya terhadap perintah Allah.

Seterusnya, ketaatan dan keyakinan penuh Nabi Ismail terhadap pengorbanan yang dituntut dilakukan bapanya dan sebagai seorang anak, Baginda sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya serta zaman keseronokan remajanya, malah pada tahap sanggup mengorbankan nyawa.

Itu semua semata-mata kerana ketaatan Baginda terhadap perintah Allah dan perintah ayah. Kedua-dua pengorbanan itu sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah yang tidak berbelah bahagi.

Sebab itulah, jika seorang Muslim mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar seperti disebut Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: "Sesungguhnya aku takutkan Allah"', lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka untuk Tuhannya tanpa ragu-ragu.

Baginda mengetahui meletakkan cinta Allah pada tempatnya adalah satu kedudukan cinta tinggi yang hanya akan lahir bagi orang yang sudah cukup kenal Allah. Menurut Imam al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa makrifah tidak mungkin berlaku kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Bahkan pepatah Melayu ada menyebut, "Tak kenal maka tak cinta". Ia seolah-olah membenarkan pendapat Imam Ghazali seperti dinyatakan di atas.

Malangnya ada segelintir umat Islam hari ini yang tidak memahami konsep ketinggian cinta hingga mudah terjerumus dengan cinta sesama makhluk sehingga sanggup dikongkong oleh nafsu tamak, rakus, bakhil dan mengutamakan keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala.

Allah memberi amaran kepada manusia dalam firman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik." (Surah at-Taubah, ayat 24)

Tidak sanggup berkorban tentunya mendorong manusia bersifat tamak terhadap lumayannya dunia sedangkan yang abadi bukanlah apa yang ada pada hari ini tetapi yang bakal diperoleh di akhirat nanti.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

No comments: