Thursday 18 December 2008

''Sesiapa pun tak pernah jadi ibu saya''


RABU lalu Nasir P. Ramlee meninggalkan peminat dunia seni tanah air bersama kelukaan hati yang sukar dimengerti.


DI sekitar pembikinan filem Abu Hassan Penchuri lakonan P. Ramlee dalam tahun 1954, beberapa buah majalah filem terbitan Singapura menyiarkan gambar Junaidah Haris dan bapanya D. Haris bertolak ke Jakarta dari Singapura. Junaidah ialah bekas isteri pertama P. Ramlee dan D. Haris adalah bekas bapa mertuanya. Pemergian mereka dianggap satu tindakan merajuk terhadap P. Ramlee yang mula mencecah keagungan.

Saya kurang pasti sama ada mereka menaiki kapal terbang atau kapal. Disebabkan kurang prihatin, saya tidak tahu bahawa mereka berdua telah mencetuskan satu episod yang menyayat hati apabila dipandang dari sudut kemanusiaan: ''Tertinggalnya bayi dan cucu mereka, Nasir, atau Nasir P. Ramlee, yang meninggal dunia dua hari lepas''.

Tan Sri P. Ramlee mendahului Nasir selama 35 tahun. Antara mereka berdua, P. Ramlee hidup selama 44 tahun, dan Nasir melebihi bapanya 11 tahun.

P. Ramlee suka menamakan anaknya menurut nama watak dalam filem-filem utama lakonannya. Nasir adalah watak dalam Antara Senyum dan Tangis, filem yang mencetuskan lonjakan kuantum kepada nama P. Ramlee, di samping Bakti, Juwita dan Putus Harapan.

Tiga tahun kemudian, pada tahun 1957, watak Sazali dalam Anakku Sazali dinamakan kepada anak angkatnya yang turun naik nasibnya telah kita ikuti dalam media akhir-akhir ini. Tetapi bagi saya, disebabkan impak filem itu, Sazali adalah Tony Castello yang mendukung watak itu di peringkat juvenil.

Ketika berlakon dalam filem Hang Tuah, yang penggambarannya selesai awal tahun 1955, Radio Malaya menyiarkan rancangan Selamat Hari Raya di kalangan bintang-bintang filem utama di studio Shaw Brothers dan Cathay, Singapura. Itulah pertama kali peminat P. Ramlee di Malaya dan Indonesia mendapat tahu secara jelas bahawa Nasir dipelihara oleh neneknya, ibu P. Ramlee, di Pulau Pinang.

''Nasir," kata P. Ramlee. "Ini bapak cakap, tau. Bapak sayang Nasir. Nasir mesti sayang nenek, ya''. Selepas itu, di mana-mana saja orang bercakap tentang apa yang disiarkan oleh Radio Malaya itu. Aneh tetapi benar, ibu pejabat Radio Malaya ketika itu adalah di Singapura.

Mendengar suara P. Ramlee di radio ketika itu sudah memuaskan walaupun pada umumnya peminat-peminat harus menunggu kedatangan filem baru P. Ramlee tiga bulan sekali.

Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Demikianlah apa yang berlaku. Sepupu P. Ramlee yang bernama Jurid Harun berhijrah ke Kuala Terengganu ketika P. Ramlee berpindah ke studio Shaw Brothers di Singapura pada tahun 1948. Jurid berkahwin dengan sepupu saya. Kedua-duanya sudah meninggal.

Jurid ialah rakan sedarjah P. Ramlee di Francis Light School, Pulau Pinang. Beliau adalah salah seorang yang duduk bersimpuh bersama-sama P. Ramlee dalam gambar pasukan Cricket tahun 1939 di sekolah itu, seperti yang tersiar dalam buku himpunan lagu-lagu P. Ramlee terbitan Arkib Negara.

Nasir bercerita kepada saya bahawa beliau beberapa kali berkunjung keluarga Jurid di Terengganu, antaranya untuk mengambil apa saja bahan-bahan yang boleh menjadi memori keluarganya, termasuk gambar-gambarnya semasa kecil di Pulau Pinang. Saya pernah melihat gambar Nasir di dalam album di rumah Jurid dalam tahun-tahun 1950-an.

Selepas satu persembahan pentas berjudul Malam P. Ramlee di Lake Club atau Kelab Taman Perdana Kuala Lumpur tiga tahun dulu, yang turut dijayakan oleh Aziz Satar (belum Datuk lagi) dan S. Shamsuddin, Nasir mengaku bahawa beliau selalu rasa tertekan kerana sentiasa dibayangi oleh ketokohan bapanya, sedangkan semua orang mengharapkan beliau sedikit sebanyak menghampiri bakat agung P. Ramlee.

Beberapa minggu lepas, sebuah lagi kelab terkemuka Kuala Lumpur, The Royal Selangor Golf Club (RSGC), menganjurkan juga Malam P. Ramlee. Iklan awal mengatakan Nasir dan S. Shamsuddin akan turut serta, tetapi pada malam sebenar, kedua-dua mereka tidak hadir. Pengumuman mengatakan Shamsudin uzur di Singapura, sedangkan perihal Nasir tidak ada perkhabaran.

Menoleh kembali, adalah dipercayai bahawa Nasir menghadapi keuzuran juga. Antara yang hadir pada malam itu ialah Datuk Aziz Satar, Ahmad Fauzi, Kassim Masdor, Julie Sudiro dan Rozita Rohaizad. Ini bererti peluang untuk melihat Nasir kali terakhir hilang begitu sahaja.

"Saya tak ada ibu," kata Nasir akhir tahun-tahun 1970-an dan awal 1980-an sekitar gara-gara beliau akan menemui ibunya, Junaidah. "Sesiapapun tak pernah jadi ibu saya," tambah Nasir. Kita boleh memahami hati Nasir.

"Sampai hati Junaidah tinggalkan 'babynya' begitu saja," ramai yang berkata. "Orang lain sanggup buat helah atau pergi ke mahkamah untuk mendapatkan anak".

Komen saya, bukan senang menjadi pasangan baik sebagai isteri atau suami kepada bintang agung. Sesiapa yang sanggup, harus menyesuaikan diri - berkorban rasa dan sebagainya. Ini fenomena sejagat dalam dunia hiburan. Marlon Brando, Elizabeth Taylor, Madonna, Leonardo DiCaprio, Angelina Jolie? Namakan saja.

Itulah yang pernah dihadapi oleh Allahyarhamah Junaidah, ibu Allahyarham Nasir. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

- TAN SRI ADAM KADIR
bekas Speaker Dewan Negara.

No comments: